Rezeki!!! Ebit Lew taja pengajian Nurul Asma sebanyak RM40,000

Rezeki!!! Ebit Lew taja pengajian Nurul Asma sebanyak RM40,000

Pendakwah bebas, Ebit Lew menaja sejumlah RM40,000 kepada pelajar cemerlang, Nurul Asma Alya Mohd Zainal bagi membiayai pengajiannya.

Ebit Lew menerusi laman Facebook pada Khamis memaklumkan beliau akan menaja kos pengajian sepenuhnya pelajar dari Tumpat, Kelantan itu termasuk kos penginapan.

Beliau turut berpeluang menziarah keluarga Nurul Asma, 22, dan menyampaikan bantuan tersebut.

“Pagi ini ke Tumpat. Saya sampai dekat pintu terus adik Nurul Asma Alya dan maknya menangis kuat. Ya ALLAH, doa saya dikabulkan.

“Saya akan taja penuh RM40,000 lebih untuk dua tahun setengah termasuk penginapan. Tadi saya sudah hubungi universiti dan mereka terima kemasukannya bulan April,” katanya.

Sementara itu, Ebit Lew memaklumkan bahawa Nurul Asma merupakan salah seorang pelajar cemerlang ketika menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat dan mendapat keputusan cemerlang ketika melanjutkan pelajaran peringkat diploma ke Kolej Profesional Mara (KPM).

Bukan sahaja peruntukan bantuan kewangan, beliau yang dikenali dengan sifat pemurah dan suka membantu golongan memerlukan turut menghadiahkan sebuah komputer riba dan kemudahan internet wifi selama setahun secara percuma.

“Kami hadiahkan juga laptop (komputer bimbit) dan ‘router’ serta wifi. Wifi oleh Digi ‘free’ (percuma) setahun. Beri sedikit duit sumbangan buat mak adik ini.

“Saya jadi sedih sebab keluarga ini asyik menangis cakap terima kasih. Semoga adik esok-esok dapat bahagiakan mak dan bantu ramai orang di luar sana,” katanya.

Ebit Lew turut menzahirkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan bantuan kepada keluarga Nurul Asma Alya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kisah Nurul Asma yang terpaksa melupakan cita-citanya melanjutkan pengajian di peringkat ijazah perakaunan di luar negara kerana masalah kewangan.

Keluarga Nurul Asma Alya tidak mampu membiayainya belajar di luar negara selepas menamatkan pengajian diploma dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.95 di KPM.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/123421/BERITA/Semasa/Ebit-Lew-taja-pengajian-Nurul-Asma-sebanyak-RM40000

COMMENTS