Rezeki penjawat awam Negeri Sembilan

Rezeki penjawat awam Negeri Sembilan

Seramai 5,379 penjawat awam di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan (N9) akan menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 yang akan dibayar selewat-lewatnya minggu kedua bulan Januari 2021.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian tersebut adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kepada penjawat awam yang sentiasa mencurahkan khidmat bakti tanpa berbelah bahagi kepada kerajaan dan rakyat.

“Kerajaan mengambil maklum akan penyusutan hasil negeri tahun 2020 berbanding prestasi cemerlang tahun 2019. Namun, bak kata perbidalan ‘duduk seorang bersempit-sempit, duduk bersama berlapang-lapang, dalam air kita berenang, cetek air kita bercebok’.

“Diharapkan bantuan khas ini akan memberikan dorongan dan galakan kepada penjawat awam di samping membantu merangsangkan aktiviti ekonomi tempatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan Tahun 2021 bertema Melestari Ekonomi, Mensejahtera Rakyat pada Persidangan Ketiga (Belanjawan), Penggal Ketiga, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Ke-14 di sini hari ini.

Aminuddin berkata, ketika ini terdapat seramai 5,379 orang penjawat awam negeri, berkanun dan pihak berkuasa tempatan.

“Daripada jumlah tersebut, seramai 4,930 orang atau 91.65 peratus adalah terdiri dari kumpulan sokongan yang mempunyai purata gaji di bawah RM4,210 sebulan iaitu dikategorikan sebagai kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40),” katanya.

Terdahulu, Aminuddin membentangkan Belanjawan 2021 yang merupakan belanjawan defisit sebanyak RM112 juta.

Belanjawan Negeri Sembilan 2021 menyaksikan sebanyak empat strategi direalisasikan melalui 53 inisiatif yang merangkumi 22 inisiatif sedia ada dan 31 inisiatif baharu

Sumber:https://www.kosmo.com.my/2020/11/27/rezeki-awal-tahun-penjawat-awam-n9/

COMMENTS