Salahguna dadah dan tumbuk polis, bekas ratu cantik didakwa

Salahguna dadah dan tumbuk polis, bekas ratu cantik didakwa

Seorang bekas ratu cantik didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas dua tuduhan menumbuk anggota polis dan menggunakan dadah ketika ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR), semalam.

Tertuduh Kohinoor Damodaran Kaittiani, 29, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam dengan menumbuk Koperal Sharularifin Sarmadan di Jalan Universiti di sini pada jam 3 pagi, 8 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wanita itu turut didakwa menggunakan dadah Tetrahydrocannabinol di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini, jam 2 petang, pada tarikh sama.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chia Xin, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh bagi semua pertuduhan.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya menerusi peguam, Datin Raj Preet Kaur, memohon diberikan ikat jamin rendah dengan alasan perniagaan restorannya terpaksa ditutup ekoran penularan Covid-19.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, rakannya, Quek Shen Tying, 33, turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan dadah jenis sama, jam 2.15 petang, pada tarikh dan lokasi sama.

Mahkamah kemudian membenarkan Shen Tying diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita yang juga bekas ratu cantik ditahan selepas bertindak merempuh SJR dan menumbuk anggota polis dalam satu kejadian di Lebuh Raya Persekutuan.

Wanita berusia 28 tahun turut dikatakan bertindak agresif dan dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol serta dadah.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner, Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid dipetik berkata, wanita berkenaan memandu kenderaan itu bersama seorang rakan wanita dari arah ibu negara menghala ke Petaling Jaya.

Berita penuh : https://www.hmetro.com.my/utama/2021/07/728470/bekas-ratu-cantik-didakwa-tumbuk-polis-guna-dadah-metrotv

COMMENTS