Seorang lelaki menyebabkan 40 wanita balu serentak

Seorang lelaki menyebabkan 40 wanita balu serentak

Kematian seorang lelaki berusia 76 tahun menyebabkan hampir 40 wanita menjadi balu serentak, manakala hampir 100 yang lain kehilangan bapa mereka.

Lelaki itu ialah Ziona Chana yang merupakan ketua penganut mazhab Kristian Chana yang membenarkan amalan poligami dan menetap di utara India.

Ketika meninggal dunia dia memiliki 39 isteri dan 94 orang anak dan 33 cucu. Ziona dianggap ketua keluarga terbesar di dunia.

Memetik kenyataan Ketua Menteri Mizoram, Zoramthanga, Reuters melaporkan Ziona berkahwin buat kali pertama semasa dia berusia 17 tahun.

Dia juga dikatakan pernah mengahwini 10 wanita dalam tempoh satu tahun.

Zoramthanga berkata keluarga besar Ziona itu tinggal bersama di sebuah rumah berupa bangunan empat tingkat yang mempunyai 100 bilik.

Malah kata Zoramthanga, semua isteri Ziona turut tidur dalam ruang besar yang sama terletak berdekatan dengan bilik tidur lelaki terbabit.

Penduduk setempat pula berkata Ziona memang gemar dikelilingi sehingga lapan orang isterinya pada satu masa.

Rumahnya yang terletak di kawasan pedalaman kampung di Baktawng turut menjadi tarikan para pelancong.

Pada 2011, semasa ditemu bual agensi berita Reuters Ziona pernah menyatakan hasratnya untuk memperbesar saiz ahli keluarganya.

“Saya bersedia untuk menambah saiz ahli keluarga saya dan sanggup untuk berkahwin lagi,” katanya yang menganggap dirinya sebagai seorang yang bertuah.

Sesetengah media melaporkan Ziona – yang mengalami masalah tekanan darah tinggi dan diabetes – tidak sedarkan diri pada 11 Jun.

Dia kemudian dikejarkan ke pusat perubatan di Aizawl dalam keadaan kritikal pada 13 Jun namun menghembuskan nafas terakhir kira-kira 10 minit selepas dimasukkan ke hospital.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/578946

COMMENTS