‘Siang malam fikir rakyat susah, tiba-tiba MB ditukar’

‘Siang malam fikir rakyat susah, tiba-tiba MB ditukar’

“Siang malam kami (kerajaan PN Perak) fikir bagaimana hendak tangani kesusahan rakyat akibat Covid-19, tiba-tiba Menteri Besar Perak pula yang ditukar. Secara peribadi, saya kecewa, sedih dengan apa yang berlaku di Perak ketika ini.”

Itu luahan hati Setiausaha Pas Perak, Mohd Akmal Kamaruddin kepada Sinar Harian semalam.

 

Mohd Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama berkongsi luahan hatinya susulan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terpaksa meletakkan jawatan semalam setelah gagal memperoleh sokongan majoriti ADUN Perak dalam sidang DUN, Jumaat lalu.

Menurut Exco Agama Islam dan Penerangan Perak itu, sejak tercetusnya pandemik Covid-19 bermula gelombang pertama lagi, kerajaan PN Perak pimpinan Ahmad Faizal benar-benar bekerja keras bagi memastikan kebajikan rakyat Perak yang berdepan kesukaran atau kehilangan pekerjaan, terbela.

“Sepanjang Covid-19, kita hanya menumpukan isu membaik pulih ekonomi negeri dan hidup rakyat yang terjejas teruk memandangkan ramai dalam kalangan mereka menangis saat ini memikirkan bagaimana hendak mencari sesuap nasi.

“Saya berharap dengan terbentuknya kerajaan baharu kelak, tidak kisah membabitkan parti apa sekali pun, semua pihak dapat mengurangkan atau menghentikan terus usaha politiking agar nasib ribuan rakyat Perak yang hidup susah dapat dibela,” katanya.

 

Sepanjang pengalaman berkhidmat dalam kerajaan ditadbir Ahmad Faizal, Mohd Akmal mengakui ADUN Chenderiang itu sentiasa memastikan barisan Exco dan pegawai kerajaan negeri dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.

“Paling penting, beliau sentiasa memesan kami untuk bekerja kuat menaikkan institusi Istana Negeri dan tidak mengenepikan nasihat baginda Tuanku Sultan Perak apa jua keputusan yang menentukan hala tuju pembangunan negeri.

“Secara peribadi, saya tiada masalah bersama Peja (Ahmad Faizal), bahkan dalam rancangan membentangkan usul Belanjawan Negeri Perak 2021, beliau komited memberikan peruntukan terbesar kepada portfolio Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan buat pertama kalinya.

“Peruntukan besar yang sepatutnya diagihkan kepada portfolio saya itu penting bagi memartabatkan agama Islam melalui usaha menaik taraf lebih banyak sekolah agama rakyat selain menyemarakkan lagi agenda dakwah di seluruh Perak,” katanya.

Ditanya sama ada tiga ADUN Pas akan menyokong UMNO membentuk kerajaan baharu, Mohd Akmal menegaskan ketiga-tiga ADUN Pas Perak akan menyerahkan segala keputusan berhubung hala tuju politik mereka di negeri itu kepada pucuk kepimpinan Pas Pusat bagi membuat keputusan lanjut.

“Ayuh kita pakat bekerja kerana ALLAH SWT, apatah lagi pada saat rakyat dalam keadaan susah,” katanya.

Sementara itu, seorang ADUN daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Abdul Yunus Jamhari menegaskan pihaknya akan mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ sebelum membuat keputusan lanjut menyokong mana-mana pihak membentuk kerajaan baharu.

“Buat masa ini, saya enggan mengulas lanjut dan hanya akan mengambil sikap tunggu dan lihat,” katanya.

Sumber:https://www.sinarharian.com.my/article/113628/BERITA/Politik/Siang-malam-fikir-rakyat-susah-tiba-tiba-MB-ditukar

COMMENTS