Speaker perkenal cara baru kira undi belah bahagi

Speaker perkenal cara baru kira undi belah bahagi

Dewan Rakyat hari ini memperkenalkan cara baru bagi pengiraan undi belah bahagi bagi mengelakkan kesilapan membabitkan Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) berulang sehingga menimbulkan kekecohan antara Ahli Parlimen sebelum ini.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun berkata, setiap penghitung undi bagi setiap blok pembangkang dan kerajaan yang dilantik akan mempunyai pemerhati yang akan memantau proses pengiraan undi membabitkan Ahli Parlimen.

“Untuk memastikan pengundian dijalankan secara teratur, ketua penghitung akan mempunyai pemerhati daripada pihak berlawanan.

“Untuk Ahli Parlimen Kota Bharu, beliau akan diperhatikan oleh Tanjong Malim, untuk Rembau, Batu Gajah akan menjadi pemerhati.

“Manakala, Tasek Gelugor akan diperhatikan oleh Kangar, Arau akan diperhatikan Hulu Langat, Kluang akan dipantau Sabak Bernam, Muar akan diperhatikan Pasir Mas, Lumut bersama dengan Jempol, Permatang Pauh akan bersama dengan Pontian dan Sungai Petani bersama dengan Sibuti,” katanya.

Azhar turut mengingatkan bahawa semua pemerhati yang dilantik akan mengundi terlebih dahulu, sebelum mereka mengiringi penghitung undi.

Beliau turut memberikan tempoh masa 10 minit untuk pengiraan undi dilakukan.

Sebelum ini Dewan Rakyat kecoh selepas Ahli Parlimen diberitahu berlaku kesilapan dalam pengiraan undian belah bahagi untuk peruntukan Kementerian Kewangan.

Kekecohan berlaku apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon dimaklumkan oleh Shabudin bahawa beliau tersilap memasukkan seorang Ahli Parlimen Umno dalam senarai menyokong peruntukan kementerian itu di peringkat jawatankuasa.

Rashid berkata, Shabudin sudah memaklumkan kepada speaker bahawa beliau tersilap memasukkan Nazri Aziz (BN-Padang Rengas) yang tiada dalam dewan ketika undian diadakan ke dalam senarai itu.

Shabudin ketika diminta memberi penjelasan berkata, beliau tidak berniat menipu Dewan Rakyat dan sudah memohon maaf.

Sumber:https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/03/speaker-perkenal-cara-baru-kira-undi-belah-bahagi-elak-kesilapan-berulang/

COMMENTS