“SPM semakin hampir, sekolah tutup pulak” – Maszlee Malik

“SPM semakin hampir, sekolah tutup pulak” – Maszlee Malik

Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Md Jidin digesa tampil menjelaskan sendiri tentang penamatan sesi persekolahan bersemuka untuk calon dua peperiksaan utama pada 9 Februari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik membuat gesaan itu selepas makluman oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung hal itu, membabitkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), ketika tarikh peperiksaan berbaki kira-kira dua minggu lagi.

Kata Maszlee yang merupakan bekas menteri pendidikan, seperti ibu bapa dan calon-calon peperiksaan, dia sendiri turut tertanya-tanya sebab keputusan sedemikian dibuat.
Meskipun yakin KPM mempunyai alasan dan sebab tersendiri berdasarkan data, suasana terkini, serta maklumat daripada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pada pandangannya, rakyat sebenarnya mahukan penjelasan daripada menteri sendiri.

“Isu utamanya ialah penjelasan dari pihak menteri.

“Sehingga kini menteri hanya menyerahkan kepada para pegawai kementerian mewakili KPM untuk muncul di kaca televisyen untuk bersoal jawab dan berdialog berkaitan isu-isu pengoperasian […],” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Sedangkan, katanya, dalam suasana kegawatan pendidikan ketika musim Covid-19, rakyat lebih ingin melihat kepimpinan dan kewibawaan menteri untuk berhadapan dengan rakyat dan membuat penjelasan melalui dialog terbuka.

“Itu akan dapat menenangkan suasana,” katanya lagi.

Berdasarkan satu pekeliling bertarikh 4 Februari, KPM mengumumkan sesi persekolahan bersemuka bagi calon SPM dan SVM tahun 2020 berakhir pada 9 Februari bagi memberi ruang kepada pelajar untuk membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula pada 22 Februari.

Ini selepas pada Januari, KPM mengumumkan sesi persekolahan bersemuka yang sepatutnya bermula 20 Jan lalu hanya membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan utama, termasuklah SPM dan SVM, selepas kes Covid-19 terus mencatatkan peningkatan.

Ini menjadikan calon-calon bagi dua peperiksaan berkenaan hanya menghadiri persekolahan secara bersemuka selama hampir tiga minggu sahaja, sebelum melakukan persediaan kendiri untuk dua minggu, dan kemudian akan menghadapi peperiksaan.

Selain SPM dan SVM, persekolahan secara bersemuka turut melibatkan calon Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan setaraf yang lain.

Pelajar-pelajar lain pula akan belajar menerusi kelas dalam talian di rumah masing-masing, di bawah kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS