‘Surat cinta Ku Li ajak MP sokong undi tak percaya ke atas Muhyiddin’

‘Surat cinta Ku Li ajak MP sokong undi tak percaya ke atas Muhyiddin’

ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan semua ahli parlimen telah diberikan “surat “cinta” daripada Tengku Razaleigh Hamzah yang mengajak mereka supaya menyokong isu “undi tidak percaya” kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

“Di meja semua ahli parlimen, ada surat cinta dari YB Tengku Razaleigh, ahli Parlimen BN (Gua Musang), untuk ketengahkan isu undi tidak percaya kepada YAB PM.

“Penolakan datang dari ahli Parlimen kerajaan sendiri. Belanjawan akan diundi pada Khamis.

“Apa pandangan rakan rakan?’ soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Semalam, tokoh veteran Umno itu memaklumkan bahawa dirinya tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tidak membenarkan keabsahan Muhyiddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuktikan.

Dia yang juga ahli Parlimen Gua Musang meyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov, yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Dia turut memberi peringatan berkenaan “rasuah politik” dalam usaha membantu kerajaan untuk terus berpaut kepada kuasa.

Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan mendahului usul yang dibawa kerajaan.

Kenyataan itu selepas Razaleigh menghantar surat kepadanya, bertarikh 25 Sept, untuk menggesa Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam responsnya, Azhar turut mencadangkan agar Razaleigh berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan agar usul tersebut dibentangkan.

Sementara itu, turut membuat hantaran yang sama adalah ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil.

“Hari ini ahli-ahli Parlimen terima surat YBM Tengku Razaleigh Hamzah berkenaan usul tidak percaya.

“Kami ahli-ahli Parlimen telah angkat sumpah untuk sentiasa memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan.

“Antara isu terbesar hari ini adalah persoalan tentang keabsahan dan sokongan majoriti ahli-ahli parlimen terhadap perdana menteri. Apakah kita bakal menyaksikan sesuatu pada 26 November ini?” soal pemimpin PKR itu.

Turut membuat hantaran serupa adalah pemimpin Amanah, Hasanuddin Mohd Yunus yang juga adalah ahli parlimen Hulu Langat.

Dia menggambarkan Razaleigh sebagai seorang yang sangat berpengalaman dalam kerajaan dan parlimen dan bukannya jenis “Melayu pak turut”.

“Ada nama besar di peringkat antarabangsa persis Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.

“Walaupun ketiga-tiganya punyai aliran pemikiran dan pendekatan yang berbeza antara satu sama lain, kami sudi mendengar daripada sesiapa sahaja.

“Dengar-dengar beliau dan beberapa pemimpin Umno sedang lakukan sesuatu yang besar minggu ini. Rakyat wajar mendengar dahulu, walaupun akhirnya belum tentu bersetuju,” katanya.

Menurut Hasanuddin, yang penting rakyat mahu jemaah menteri yang bijak dan bertanggungjawap.

“Kita mahu insan yang tidak comot dan bersih serta ada kebijaksanaan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Gesaan Razaleigh terhadap usul undi tidak percaya terhadap sebuah kerajaan yang cuba mengelaknya bukanlah sesuatu yang baik untuk Muhyiddin.

Pada masa ini, presiden Bersatu itu mempunyai sokongan 112 daripada 222 ahli Parlimen.

Namun hanya ada 220 ahli Parlimen pada masa ini, berikutan kematian seorang ahli Parlimen kerajaan dan seorang ahli Parlimen pembangkang.

Tanpa sokongan Razaleigh, jumlah sokongan yang dimiliki Muhyiddin tinggal 111 orang.

Pada masa sama, sejumlah ahli Parlimen Umno – yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PN – turut mengkritik Belanjawan 2021 dan membayangkan tidak semestinya akan menyokongnya.

Pengundian Belanjawan 2021 akan berlangsung paling awal pada 26 Nov ini.

Jika semua ahli Parlimen hadir dan undian dibuat berdasarkan parti, kehilangan sokongan dua ahli Parlimen kerajaan sudah cukup untuk menggagalkan Belanjawan 2021.

Undian itu juga amat penting buat Muhyiddin kerana ia juga boleh dikira sebagai “undi percaya” terhadapnya.

Sumber:https://www.malaysiakini.com/news/552138

COMMENTS