Sutradara Senibayan dapat rasa bakat semulajadi Syahmi

Sutradara Senibayan dapat rasa bakat semulajadi Syahmi.: Bekerjasama dalam menghasilkan filem 35mm, sutradara Senibayan, 60, atau nama sebenar, Ahmad Hashim nampak potensi besar Syahmi Sazli, 27, dalam dunia pengarahan.

Bagi Senibayan, Syahmi mempunyai bakat semula jadi dan peluang menjadi pengarah bersama dalam filem 35mm yang berkonsepkan time travel itu, menambah rasa kagum terhadap anak muda ini.

“Syahmi mahu kami lari daripada acuan drama spontan yang pernah dihasilkannya. Jadi, Syahmi tampil dengan filem pengembaraan berbentuk time travel ini.

“Syahmi yang mencetuskan idea memaparkan zaman berbeza dalam cerita. Ikhlas saya katakan, bakat Syahmi mengagumkan.

“Dia seolah-olah pernah mengikuti pengajian seni filem, namun, Syahmi tiada latar belakang itu.

Sutradara Senibayan dapat rasa bakat semulajadi Syahmi

“Apa yang dimilikinya adalah bakat semula jadi. Kemudian Syahmi asuh pelakon, Asif Suhami dan Yoe Parey. Saya lihat keserasian Syahmi dengan Yoe dan Asif, sangat kuat,” katanya kepada BH Online.

Karier Syahmi bermula melalui penghasilan kandungan YouTube sehinggalah filem arahannya, Mael Totey The Movie mendapat sambutan hangat.

Filem itu meraih kutipan tertinggi bagi filem tempatan yang ditayangkan pada 2020 dan mendominasi platform Astro First pada rekod langganan lebih RM7 juta.

Senibayan berkata, idea asal filem 35mm dicetuskan Syahmi.

Melalui karya itu, Syahmi membawa penonton mengimbau evolusi dan budaya masyarakat dari zaman Dinasti China, era jajahan Jepun dan British serta detik kegemilangan sukan badminton pada1990-an.

Filem itu turut membangkitkan nostalgia zaman kanak-kanak sebelum terciptanya gajet dan teknologi canggih.

Bertemu Senibayan pada sesi promosi filem 35mm di ibu negara, baru-baru ini, kali pertama dia bekerjasama dengan Syahmi dalam filem Syif Malam Raya.

“Saya banyak menonton kandungan dihasilkan Syahmi di YouTube. Daripada situ, saya merasakan dia boleh pergi jauh kerana kreativitinya.

“Melihatkan potensinya, saya spontan pergi ke Kelantan dan melamar Syahmi untuk membintangi filem Syif Malam Raya. Alhamdulillah, dia terima.

“Selepas dapat pengalaman dengan filem, Syahmi kemudian menghasilkan Mael Totey The Movie,” katanya.

Senibayan turut komitmen Yoe dan Asif biarpun mereka remaja autisme.

“Kalau dibandingkan penampilan dalam drama spontan, watak mereka dalam filem 35mm ini jauh lebih serius. Namun, mereka boleh buat.

“Contohnya, apabila saya suruh Syahmi buat mereka menangis, Yoe dan Asif menangis secara spontan.

“Syahmi sudah faham bagaimana hendak bekerja dengan mereka. Jadi, tidak sukar tetapi arahan kena diberi secara jelas dan skripnya dibacakan.

“Alhamdulillah, keserasian mereka yang kuat memudahkan semua kerja,” katanya.

Namun, Senibayan berkata, tidak kurang cabaran dalam menyudahkan tiga blok penggambaran filem 35mm.

“Ketika penggambaran blok pertama, Disember tahun lalu, Yoe diserang penyakit angin pasang. Kami terpaksa menghentikan penggambaran disebabkan Yoe perlu menjalani pembedahan.

“Sebulan kemudian, kami sambung di lokasi sama di Pulau Pinang. Selepas lima hari shooting disambung, 18 kru dijangkiti COVID-19. Sekali lagi kerja terpaksa dihentikan,” katanya sambil menambah mereka menghabiskan 21 hari untuk menyudahkan penggambaran filem berkenaan.

Menariknya, filem 35mm bukan sahaja mempertaruhkan jalan cerita yang berkonsepkan pengembaraan masa, malah padat aksi mendebarkan dengan hasil produksi berkualiti tinggi melalui penggunaan teknik teknik janaan imej (CGI).

35mm berkisarkan mengenai tiga sahabat lakonan Syahmi, Asif dan Yoe yang terperangkap dalam penggambaran ke beberapa zaman berlainan selepas membeli sebuah kamera antik.

Antara zaman yang dilewati adalah era Dinasti China, zaman jajahan Jepun dan pemerintahan British. Setiap era yang dikunjungi memberi cabaran tersendiri.

Apabila mereka berada pada 1997, Yoe hiba kerana buat kali pertama berjumpa ibu bapanya. Namun mereka perlu kembali ke 2020 biar apa cara sekali pun.

Selain Syahmi, Yoe dan Asif antara yang membintangi filem 35mm adalah Kenji Sawahii, Puteri Kapitan Hung, Hushairy Hussein, Melanie Tan, Ainul Yakin, Mohammad (Abe Mat), Xing Hu, MN Badri, Wea Selamos, Mamu Abu dan ramai lagi.

35mm ditayangkan di Astro First sejak 21 Jun lalu.

BACA:

Awie dan Erra Fazira sepentas, ini reaksi isteri Awie

Johny Depp tak minat kutuk Amber, fokus untuk teruskan hidup

Isu masalah air, balak didedah Husam tidak akan gugat Pas

+ posts