Tak bekerja tapi hidup mewah, 2 beradik ditangkap

Tak bekerja tapi hidup mewah, 2 beradik ditangkap

Kehidupan mewah dua beradik yang memiliki wang tunai berjumlah RM180,316 dan simpanan RM258,116 di tiga bank, walaupun masing-masing tidak bekerja, membongkar kegiatan mengedar dadah dilakukan mereka.

Ketua Polis Pahang, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata semua wang itu dipercayai hasil menjual dadah dan suspek berumur 40 serta 43 tahun itu turut dipercayai memiliki sebuah pacuan empat roda Ford Ranger Raptor bernilai RM210,000 yang digunakan untuk mengedar dadah tersebut.

Menurut laporan dari FreeMalaysiaToday. Ketua Polis Pahang berkata, pihak polis menahan mereka berhampiran Plaza Tol Kuantan pada 11.30 malam Isnin lepas, yang membawa kepada pemeriksaan di dua rumah masing-masing di KotaSAS dan Felda Panching Utara, dan menemukan wang tunai serta dadah pelbagai jenis.

BACA JUGA : Vokalis kumpulan Screen meninggal dunia

“Pemeriksaan di rumah di KotaSAS menemukan sebuah beg berisi heroin seberat 4.1kg, syabu (1.3kg), 4,200 pil yaba dan 1,700 pil Erimin 5 manakala wang tunai itu ditemukan dalam bilik sebuah lagi rumah di Felda Panching Utara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Ramli berkata, suspek dipercayai memperoleh dadah itu dari Lembah Klang dengan jumlah dadah yang ditemukan itu boleh dijual kepada lebih 10,000 penagih.

Beliau berkata, ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati negatif, namun mereka mempunyai 15 rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Suspek direman selama tujuh hari hingga 13 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan, katanya.

COMMENTS