Tanah runtuh Kg Sg Penchala, Agong titah siasatan segera

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar siasatan berhubung kejadian tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di sini, dijalankan dengan kadar segera.

Dalam masa sama, baginda, menyeru semua pihak agar berganding bahu dan tampil menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam yang melibatkan 94 buah kediaman.

Memandu sendiri kenderaan jenis Toyota Hilux, baginda berkenan mencemar duli melawat mangsa kejadian tanah runtuh itu.

Al-Sultan Abdullah berangkat tiba di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala sekitar pukul 2.09 petang.

Dalam lawatan itu, Seri Paduka Baginda meluangkan masa hampir sejam menyantuni 136 mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut.

“Saya amat bersimpati dengan penghuni-penghuni rumah di kawasan ini. Namun saya dapat penjelasan tadi dan saya harap segala siasatan dapat dilakukan secepat mungkin.

“Dalam pada itu DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) telah menyatakan untuk menempatkan sebahagian penduduk di sini ke satu tempat (iaitu) di Flat Taman Beringin,” titah Yang di-Pertuan Agong kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan berkenaan hari ini.

Selain bertanya khabar dan menzahirkan rasa simpati, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menghulurkan sumbangan wang tunai kepada semua mangsa tragedi tanah runtuh itu.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan kepada semua mangsa yang terlibat dalam bencana alam itu agar tabah menempuh dugaaan.

“Kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar… banyak bersabar.

“Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti, dan saya amat bersimpati,” titah Al-Sultan Abdullah lagi.

Turut mengiringi Yang di-Pertuan Agong ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam kejadian pada awal pagi Isnin lalu, sekurang-kurangnya 284 mangsa terjejas akibat tanah runtuh.

Seramai 136 mangsa dipindahkan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, sementara baki mangsa berada di luar PPS.

Kejadian tersebut membabitkan 94 buah rumah, yang mana daripada jumlah tersebut, 24 kediaman musnah, manakala 70 buah lagi dikategorikan sebagai berisiko.

BACA JUGA : [Video] ’20 minit dah jadi laut’, imam kongsi pengalaman rumah tenggelam banjir