Terbabas, tercampak, lelaki maut dihempap kereta sendiri

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ekoran kenderaan dipandunya terbabas dalam kejadian di Jalan Kampung Malampoi, Batu 48, berhampiran Ladang Sawit Felcra, Nabawan, pagi tadi.

Mangsa, Putera Azzalie Sulayul, 25, yang memandu Proton Wira Aeroback, dilaporkan tercampak keluar sebelum dihempap kenderaannya sendiri dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.39 pagi

“Sepasukan lima anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan berkenaan.

“Pasukan operasi sebaik tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa tersepit di bahagian luar kenderaannya dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 8.28 pagi