Terima deposit pelaburan tanpa lesen, penceramah bebas didakwa

Terima deposit pelaburan tanpa lesen, penceramah bebas didakwa. Seorang penceramah bebas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas empat pertuduhan menerima deposit dengan jumlah keseluruhan RM187,000 bagi pelaburan tanpa lesen sejak 2019 hingga tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muzzamil Soliheen Musa, 45, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

Mengikut empat pertuduhan yang dibacakan, tertuduh didakwa bersetuju menerima deposit antara RM10,000 hingga RM100,000 secara berasingan daripada empat lelaki berusia 45 hingga 49 tahun sebagai suatu pelaburan tanpa lesen sah mengikut Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758).

Kesalahan itu dilakukan di tiga kedai makan sekitar Mantin dan Bandar Baru Nilai serta di satu alamat di Taman Seri Rambai, Labu, Nilai antara 30 Ogos 2019 hingga 7 September 2021.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137 (2) akta sama.

Terima deposit pelaburan tanpa lesen, penceramah bebas didakwa

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya.

Terdahulu, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulfikri Mohd Nasir menawarkan jaminan keseluruhan RM550,000 dengan syarat tambahan dikenakan.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan Muzzamil akan dijamin isterinya yang tidak bekerja.

Isteri tertuduh yang berada dalam kamar memaklumkan kepada mahkamah dia hanya mampu membayar wang jaminan RM5,000 saja bagi semua pertuduhan kerana mereka mempunyai dua anak masih bersekolah, selain suaminya menghidap penyakit kronik.

Norshila kemudian berkata, jumlah jaminan itu tidak munasabah dengan mengambil kira kerugian bagi semua pertuduhan hampir mencecah RM200,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Kes akan disebut semula pada 16 Januari depan untuk serahan dokumen.

BACA:

Hadi dakwa masih di hadapan, minta semua kekal tenang

Polis beri amaran, henti sebar video perkauman dan sensitiviti agama

Pemimpin BN PN keluar ikut pintu belakang selepas pertemuan

+ posts