Terkini :130 kawasan di Klang, Shah Alam, Petaling bakal alami gangguan air

Terkini :130 kawasan di Klang, Shah Alam, Petaling bakal alami gangguan air

Sebanyak 130 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Petaling akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai jam 1 tengah hari ini.

Ia berikutan paip utama di bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 dekat sini pecah.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya akan menutup bekalan air pada jam 1 tengah hari bagi memastikan kerja pembaikan berjalan lancar.

“Penutupan bekalan air ini akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 58 kawasan di Klang dan Shah Alam serta 72 kawasan di Petaling.

“Kerja pembaikan ini dijangka akan siap sepenuhnya pada jam 9 malam nanti dan bekalan air akan mula disalurkan kepada premis pengguna selepas kerja pembaikan siap dilaksanakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis.

Katanya, pengguna disarankan menyimpan bekalan air secukupnya sebelum penutupan bekalan air dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Untuk maklumat lanjut dan status terkini bekalan air, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.

“Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/657981/130-kawasan-di-klang-shah-alam-petaling-bakal-alami-gangguan-air

COMMENTS