[Terkini] Dibenarkan makan di restoran bermula esok

[Terkini] Dibenarkan makan di restoran bermula esok

Kerajaan membuat keputusan membenarkan pelanggan makan di premis makanan mulai esok.

Bagaimanapun, kebenaran itu terhad hanya dua orang untuk satu meja dan perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata tempoh operasi premis makanan pula adalah antara jam 6 pagi hingga 10 malam.

“Kerajaan bersetuju membenarkan restoran menyediakan perkhidmatan makan di dalam premis kepada pelanggan berkuat kuasa esok, namun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Kebenaran itu adalah tambahan kepada SOP sebelum ini yang hanya membolehkan restoran beroperasi secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran.

“Jumlah pelanggan dihadkan hanya dua orang untuk satu meja dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.

“Masyarakat masih perlu mematuhi SOP yang ditetapkan walaupun diberi kebenaran ini,” katanya pada sidang media, hari ini.

Ismail Sabri turut berkata, sektor industri kreatif akan dibenarkan untuk kembali beroperasi dengan SOP yang ketat, bermula esok.

Beliau berkata, senarai yang dibenarkan beroperasi adalah produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital dan rakaman lagu di studio.

“Turut dibenarkan adalah pra-produksi penggambaran serta penggambaran di studio merangkumi drama, telemovie, iklan, dokumentari, sitkom, siaran langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton,” katanya.

COMMENTS