Laksanakan kempen ‘Yakin Vakin’, cadangan Pakatan Harapan kepada kerajaan

Laksanakan kempen ‘Yakin Vakin’, cadangan Pakatan Harapan kepada kerajaan

Pakatan Harapan mencadangkan supaya kerajaan melaksanakan kempen berkesan mengenai kadar keberkesanan vaksin yang bakal digunakan di Malaysia.

Menurut Pasukan Petugas Imunisasi PH yang terdiri daripada lapan wakil rakyat dari gabungan tersebut, kempen yang dicadangkan bernama “Yakin Vaksin” boleh dilakukan dengan kerjasama saintis, para profesional perubatan, selebriti yang dihormati dan tokoh-tokoh yang bersesuaian bagi menarik perhatian rakyat.

Menurut kenyataan bersama dari pasukan itu, di samping mengekang maklumat palsu yang disebarkan oleh kumpulan anti-vaksin, ia juga bertujuan memberikan kesedaran kepada rakyat di negara ini berhubung jenis-jenis vaksin yang akan digunakan di Malaysia dan proses-proses yang perlu dilalui.
“Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, telah memberi jaminan bahawa mana-mana vaksin yang akan diguna di Malaysia perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) sebelum ia digunakan.

“Namun ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar tentang proses-proses yang dilalui NPRA sebelum sesuatu vaksin itu diluluskan.

“Tambahan pula, terdapat petanda-petanda yang satu atau lebih vaksin mungkin diberi ‘kelulusan bersyarat’.

“Oleh itu, amatlah penting asas saintifik serta kadar keberkesanan setiap vaksin yang bakal diguna di Malaysia diterbitkan dengan jelas,” kata pasukan itu dalam kenyataan hari ini.
Untuk rekod, pada masa ini Malaysia mempunyai persetujuan untuk menggunakan vaksin Pfizer-BioNtech dari Amerika Syarikat-Jerman; AstraZaneca dari United Kingdom-Sweden; Sinovac dan CanSinoBIO dari China, serta Famaleya National Centre dari Rusia.

Pasukan itu turut menegaskan keperluan melaksanakan program “jejak dan kesan” bagi setiap dos vaksin dari tempat simpanan hinggalah ke penerima apabila program vaksin yang bakal bermula akhir Februari ini dilakukan.

“Ini adalah demi memberi keyakinan tambahan bahawa akan ada tindakan susulan yang bersesuaian berkaitan keberkesanan setiap vaksin bagi setiap individu yang telah diberi vaksin.

“Ini juga akan dapat mengelakkan vaksin palsu dan sijil vaksin palsu dari diguna, di mana kejadian ini telah dilaporkan di beberapa negara,” katanya.
Tambahannya, mekanisme penjejakan dan strategi komunikasi Kesan Tidak Diingini Selepas Imunisasi (Adverse Event Following Immunization, AEFI) yang menyeluruh perlu diadakan bagi mengenal pasti individu yang mengalami kesan sampingan selepas diberikan vaksin.

“Jika ini tidak ditangani dengan cermat, berita negatif dari kes-kes AEFI selepas kumpulan penerima vaksin pertama sudah pasti akan menyebabkan kumpulan penerima yang akan datang enggan menerima vaksin Covid-19.

Sumber: Malaysiakini

COMMENTS