Terkini: Mahfuz kemuka usul bantah tindakan Presiden Perancis

Terkini: Mahfuz kemuka usul bantah tindakan Presiden Perancis

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Seri Mahfuz Omar hari ini mengemukakan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memohon agar Dewan membahaskan usul bagi membantah tindakan Presiden Perancis yang didakwa membuat kenyataan berunsur Islamophobia .

Menerusi surat bertarikh 30 Oktober 2020, Mahfuz memohon mengemukakan usul di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk merundingkan usul yang berbunyi demikian:

“Bahawa saya Ahli Parlimen Pokok Sena mohón kebenaran agar Majlis Mesyuarat ini di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) untuk merunding perkara tertentu, berkenaan kepentingan orang ramai yang berkehendak disegerakan, membahaskan usul bagi kerajaan mengambil tindakan tegas dan bantahan keras terhadap kenyataan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, yang telah membuat dakwaan berunsur Islamofobia dengan berselindung di bawah kebebasan bersuara,” tulis surat tersebut.

Surat berkenaan juga dilihat mempunyai cop telah diterima oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH berkata, memandangkan Macron enggan menarik balik ucapannya yang penuh dengan kebencian, kerajaan dan Parlimen Malaysia dicadangkan mengambil tindakan dengan menghantar nota bantahan keras, menuntut Macron menarik semula kenyataan biadap, memohon maaf kepada seluruh umat Islam dan masyarakat dunia.

Beliau turut menyeru agar Dewan mengecam kenyataan Macron selain menyatakan ketidaksetujuan terhadap pembunuhan seorang guru, Samuel Party yang sewajarnya diserahkan kepada proses undang-undang.

“Saya juga menyeru Ahli-ahli Dewan yang mulia tanpa mengira kaum bersama menyokong usul ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Macron menggambarkan pembunuhan guru lelaki yang dipenggal kerana menunjukkan karikatur Nabi Muhammad SAW di Paris, sebagai satu “serangan”.

Ucapan Macron juga mencetuskan kemarahan dunia Arab kerana cubaan menghina dan memperlekehkah Islam.

Pada masa sama, Mahfuz menerusi surat berkenaan menegaskan bahawa usul tersebut melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan untuk mengelak perkara tersebut menjejaskan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Berita Penuh :https://malaysiadateline.com/mahfuz-kemuka-usul-bantah-tindakan-presiden-perancis-di-dewan-rakyat/

COMMENTS