Terkini!!! Najib gagal lagi singkir Sri Ram dalam kes pinda laporan audit 1MDB

Terkini!!! Najib gagal lagi singkir Sri Ram dalam kes pinda laporan audit 1MDB

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada terus mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas mendapati permohonan yang dikemukakan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai sebarang merit.

“Pemohon (Najib) bergantung kepada komunikasi antara bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali dan Datuk Seri Gopal Sri Ram bagi membuktikan elemen berat sebelah terhadapnya. Alasan ini tidak mempunyai sebarang asas.

“Seperti manusia lain, Gopal Sri Ram juga mempunyai pandangannya sendiri dan pandapangan itu tidak boleh dikatakan akan mempengaruhi tanggungjawabnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan,”kata hakim itu ketika membaca penghakiman ringkasnya.

Tambahnya, tiada bukti kukuh untuk menyokong dakwaan Najib bahawa Sri Ram telah bertindak berat sebelah ketika menjalankan tugasnya sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

“Sekiranya pemohon dapat menunjukkan Sri Ram bersikap atau bertindak berat sebelah ketika menjalankan tugas, maka pertimbangan yang berbeza akan diambil. Sehubungan itu, permohonan pemohon ditolak,”kata Hakim Mohamed Zaini.

Pada prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib manakala peguam bela Nur Syahirah Hanapiah hadir mewakili Najib.

Najib, 68, dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di antara 22 dan 26 Februari 2016 di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya dekat sini.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan, termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Sumber:https://www.utusan.com.my/nasional/2021/02/1mdb-najib-gagal-lagi-singkir-sri-ram/

COMMENTS