“Terpaksa jual Black walaupun berat hati …”

“Terpaksa jual Black walaupun berat hati …”

Terdesak memerlukan modal perniagaan menyebabkan usahawan muda, Aizuddin Abd Razak dari Pulau Tawar, Jerantut kira-kira 170 kilometer dari sini, tidak mempunyai pilihan melainkan menjual satu-satunya kuda kesayangan beliau demi kelangsungan hidup.

Aizuddin, 34, berkata keputusan menjual kuda jantan berusia lima tahun dipanggil ‘Black’ itu dibuat selepas berfikir panjang selama lebih sebulan, selain turut mengambil kira pandangan isterinya Sakinah Zaid, 24, dan rakan-rakan yang turut mesra dengan haiwan tersebut.

Katanya, harga kuda baka thoroughbred berwarna hitam itu dibuka pada nilai RM25,000 dan jumlah itu diharapkan mencukupi untuk membesarkan perniagaan kerepek pisang bersalut coklat yang dimulakan November tahun lepas setelah agensi pelancongan tempat beliau bekerja terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Berat hati untuk melepaskan Black, namun saya terpaksa…gaji terakhir daripada agensi pelancongan ialah pada Julai tahun lepas, iaitu sebulan selepas saya mendirkan rumah tangga. Sejak itu, saya berjimat cermat menggunakan wang simpanan yang turut dijadikan modal permulaan perniagaan secara dalam talian.

“Buat masa ini, saya juga amat memerlukan wang tambahan kerana isteri dijadualkan melahirkan anak sulung tidak lama lagi. Saya terpaksa membuat keputusan menjual Black kerana masih belum berjumpa cara lain (untuk mendapatkan wang),” katanya kepada Bernama semasa dihubungi di sini, hari ini.

Tambah anak jati Jerantut itu, perusahaan kerepek pisang bersalut coklat itu dilakukan secara kecil-kecilan dengan bantuan tiga pekerja, namun beliau berhasrat meningkatkan produktiviti dan aspek pembungkusan dengan penglibatan sebuah kilang coklat di Damansara, Selangor.

“Selain tiada pendapatan sejak diberhentikan daripada agensi pelancongan, saya juga diuji apabila kebun pisang yang diusahakan di tanah seluas seekar lebih (kira-kira 0.4 hektar) rosak akibat banjir awal tahun ini. Saya terima ia bukan rezeki saya dan kini dalam usaha mengumpul wang untuk menanam semula,” katanya.

Aizuddin berkata sejak diiklankan dalam laman sosial Facebook semalam, beliau sudah menerima beberapa panggilan telefon daripada mereka yang ingin ‘merisik’ Black, yang disifatkan sebagai kuda yang manja dan sangat aktif, memandangkan bakanya memang dikenali dalam perlumbaan kuda.

Akui Aizuddin, perasan sayang dan berat hati untuk melepaskan kuda yang dilahirkan pada 3 Feb 2016 itu menyebabkan beliau terpaksa ‘bersikap memilih’ dalam mencari tuan baharu Black, bagi memastikan haiwan tersebut terus mendapat jagaan dan perhatian yang baik.

“Saya berharap dapat membeli semula Black selepas kewangan stabil dan anak berpeluang mencipta memori yang sama seperti saya dengan Black…doa saya semoga perpisahan kami hanya bersifat sementara,” katanya.

Sumber:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/terpaksa-jual-black-walaupun-berat-hati-283236

COMMENTS