[Video] Kawan bawa mayat kawan baik ronda-ronda buat kali terakhir

[Video] Kawan bawa mayat kawan baik ronda-ronda buat kali terakhir

Sekumpulan rakan di Ecuador sanggup mengeluarkan mayat rakan lelaki mereka dari keranda dan membawanya ‘menaiki’ motosikal buat kali terakhir.

Daily Star melaporkan mereka mendakwa sudah mendapat kebenaran daripada ibu bapa kepada si mati, Erick Cedeno.

Kebenaran itu untuk menguruskan hal pengebumian rakan mereka, mengeluarkan mayat mangsa dari keranda dan melakukan perbuatan aneh berkenaan.

Laporan mengatakan kira-kira tujuh lelaki mengelilingi motosikal sebelum mayat dinaikkan ke tempat duduk penumpang.

Kumpulan lelaki itu merakam sorakan dan melambaikan tangan mereka dengan teruja bersama mayat rakan mereka itu yang bersandar di belakang badan penunggang motosikal.

Seorang lagi lelaki membonceng motosikal terbabit dan mengapit mayat berkenaan, sebelum motosikal itu bergerak.

Kumpulan lelaki itu mendakwa bahawa mereka ingin memberi penghormatan terakhir kepada rakan mereka dan ia sebagai ucapan selamat tinggal.

Selain itu, mereka menuang minuman beralkohol pada keranda, lapor La Republica.

Lelaki berusia 21 tahun itu meninggal dunia hujung minggu lalu selepas dilaporkan ditembak ketika dalam perjalanan ke majlis pengebumian.

“Ia kali pertama insiden itu berlaku di bandar ini dan satu aktiviti yang menyimpang serta tidak sihat,” kata jurucakap polis dalam satu kenyataan.

Tiada seorang daripada individu yang mengambil mayat itu ditahan pihak berkuasa.

Siasatan berhubung kejadian itu belum dilakukan kerana pengebumian itu dianggap sebagai acara persendirian.

Selain itu, tiada aduan rasmi mengenai kejadian itu.

COMMENTS