[Video] Lelaki dilanggar terpelanting sampai atas bumbung bengkel

[Video] Lelaki dilanggar terpelanting sampai atas bumbung bengkel

Seorang pembantu kedai cedera parah selepas melambung sehingga ke atas bumbung sebuah bengkel apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta yang sedang memotong di Jalan Permatang Piah – Kampung Kolam, Pak Badol di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu menyebabkan mangsa, Wan Mohamad Sabaruddin Wan Zakaria, 19, patah paha kiri dan tangan kiri.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, siasatan awal mendapati, sebuah kereta jenis Honda Civic sedang dalam perjalanan dari Melor menghala ke rumahnya di Kampung Tasek Pauh, Selising dekat Pasir Puteh.

Menurutnya, semasa tiba di lokasi kejadian, kereta yang dipandu lelaki berusia 36 tahun itu dipercayai cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Kancil.

“Mangsa yang tiada lesen memandu sedang menunggang motosikal jenis Yamaha LC berada di laluan bertentangan bagaimanapun terus dirempuh kereta tersebut.

“Insiden itu menyebabkan mangsa melambung dan jatuh di atas bumbung sebuah bengkel yang berada di sebelah kiri jalan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Menurut Shuhaimi, mangsa mengalami kecederaan parah apabila paha dan tangan kirinya patah sebelum dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian di sini untuk rawatan lanjut.

Ujarnya, anggota polis yang tiba di lokasi kejadian terus membuat pemeriksaan fizikal terhadap pemandu kereta berkenaan, namun berlaku pergelutan antara polis dan lelaki itu.

Katanya, pemeriksaan pada tubuh badan lelaki itu telah menjumpai dadah dipercayai jenis heroin seberat tiga gram dan 102 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM3,020.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine selain mempunyai tujuh rekod lampau berkait kes dadah,” katanya.

Tambah Shuhaimi, kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

COMMENTS