[Video] Panas !!! Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru soal kenapa Melayu nak halau Melayu?

[Video] Panas !!! Penduduk Kampung Sungai Baru, Kampung Baru soal kenapa Melayu nak halau Melayu?

Perjanjian pembangunan semula Kampung Sungai Baru yang terletak di Kampung Baru didakwa berat sebelah menjadi faktor 110 penduduk di kawasan itu tidak bersetuju untuk berpindah.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata baru-baru ini penduduk di kampung itu telah menerima surat pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah, 1960 bagi projek tersebut dan diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos lalu untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Beliau berkata apa yang membingungkan, mereka tidak bersedia untuk berpindah kerana pertama sudah selesa duduk di kampung di tengah-tengah Ibu Kota negara yang mempunyai pelbagai kemudahan.

Syed Salehuddin juga berkata penduduk kampung itu juga belum diberi pampasan atau rumah sementara untuk mereka mengosongkan rumah yang telah didiami berpuluh-puluh tahun.

“Rata-rata isi rumah di sini anak ramai, semua Melayu.

“Walaupun dapat pampasan, tetapi mana kami nak pergi.

Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah
” Jangan aniaya kami. Jangan tindas kami. Tolong kami dari segi perumahan untuk orang-orang sini,” katanya ketika ditemui FMT di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru.

Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Pembangunan semula yang dirancang itu akan melibatkan 328 unit rumah di mana 264 daripadanya adalah rumah flat dan selebihnya merupakan unit teres yang dianggarkan berkeluasan 6.8 hektar.

70% pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan telah menurunkan tandatangan.

Salehuddin berkata pembangunan semula kampung itu mahu dibina kondominium sebanyak 50 tingkat.

Katanya, dijangkakan keputusan jumlah pampasan ke atas mereka yang belum menurunkan tandatangan persetujuan pembangunan itu akan diketahui Oktober ini.

Pada 30 Ogos lalu, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) hanya bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, di sini, selaras dengan fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733).

PKB dalam kenyataannya memaklumkan pembangunan semula itu merupakan inisiatif kerjasama swasta antara pemilik tanah/petak dengan pemaju yang dikenali sebagai Ritzy Gloss Sdn Bhd.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Kampung Sungai Baru, Rokiah Talib berkata penduduk memang akur dengan warta yang dikeluarkan kerajaan untuk mengambil tanah itu, tetapi beliau bingung ke mana tempat untuk berpindah.

Beliau mendakwa ini kerana pemaju yang membangunkan kampung itu tidak memberi pampasan lagi, sebaliknya mendakwa mereka diminta berpindah dahulu.

“Kalau nak ‘tendang-tendang’, kami tak terima. Kami kecewa kerana sudah seronok tinggal di sini dan jika perlu berpindah perlu mula balik.

“Rumah pun sudah habis bayar dan mengenangkan dulu bayar susah walaupun tak mahal ini kerana kami bukan orang senang,” katanya.

Seorang penduduk di situ, Rozana Aini juga mempersoalkan kenapa kerajaan mahu mengambil balik tanah itu dalam keadaan penduduk yang susah menghadapi musim pandemik Covid-19.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pihak pemaju nak membuat kondominium di kampung itu masa ini berikutan rata-rata penduduk sudah selesa tinggal di situ.

“Kenapa nak bina kondominium dekat sini, habis kita nak merempat dekat mana. Kalau beri pampasan pun takkan setimpal dengan nilai kami duduk di sini kerana tempat ini sangat strategik dengan kemudahan yang ada.

“Kita cuma harap Perdana Menteri baharu boleh campur tangan hentikan pembangunan dekat sini.

” Kenapa orang Melayu nak halau Melayu dekat sini,” katanya.

COMMENTS