[Video] Stress dengan bos, wanita ini bakar tempat kerja

Seorang wanita di Thailand dilaporkan tekad membakar gudang minyak tempat dia bekerja di wilayah Nakhon Pathom baru-baru ini gara-gara tidak tahan dengan majikan yang selalu membuatkannya tertekan, lapor Daily Mail.

Wanita tersebut, Ann Sriya, 38, didakwa membakar sekeping kertas dan melemparkannya ke arah sebuah tong minyak sehingga menyebabkan kebakaran besar melanda gudang Minyak Prapakorn itu.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan, Sriya yang juga selaku ketua pekerja di situ memasuki gudang dan berjalan ke arah deretan tong minyak di satu sudut sambil memegang sehelai kertas.

BACA JUGA : [Video] Gempar !!! Dua ekor ‘anakonda’ ditemui di Marang

Satu rakaman CCTV lain pula memaparkan, beberapa kotak berisi tong minyak di sebuah rak didapati terbakar dan apinya mula membesar sedikit demi sedikit.

Kebakaran kecil itu akhirnya menjadi tragedi dahsyat apabila api marak melanda dengan ganas dan membakar keseluruhan gudang yang menyimpan ribuan tong minyak tersebut.

Tidak kurang juga, api yang marak turut merebak ke luar hingga memusnahkan lebih 10 buah rumah yang terletak berdekatan dengan gudang tersebut.

Lebih 40 jentera bomba dikerahkan ke lokasi kejadian hingga mereka terpaksa mengambil masa kira-kira empat jam lamanya untuk meredakan kebakaran tersebut.

Selain mengawal kebakaran, anggota bomba juga terpaksa menghentikan minyak yang terbakar daripada tumpah ke dalam sungai dan sampai ke kawasan perumahan berdekatan.

Pihak syarikat mengesahkan, anggaran jumlah kerugian keseluruhan yang direkodkan adalah mencecah RM5 juta.

Dalam pada itu, Sriya yang telah bekerja selama sembilan tahun di situ telah ditahan polis dan mengaku bersalah atas tindakannya.

Menurut polis, Sriya mendakwa dia bertindak sedemikian adalah kerana didorong oleh rasa tekanan yang ditimbulkan majikannya, Pipat Ungprapakorn, 65.

”Dia berkata majikannya merungut kepadanya dan menyebabkan dia tertekan setiap hari, dia tidak menyangka kebakaran yang dia mulakan boleh menyebabkan tahap kerosakan seperti ini,” kata Mejar Jeneral Chonchavin Purtanon.

Difahamkan, Sriya kini telah ditahan reman sementara majikannya (pemilik kilang) pula dalam proses siasatan pihak polis.

+ posts