Remaja maut digilis kereta api ketika tidur di landasan

Tindakan dua remaja yang tidur di atas jambatan landasan kereta api di Kampung Tiong, dekat Gua Musang, mengundang tragedi apabila seorang daripadanya meninggal dunia selepas digilis kereta api, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, mangsa, Mohamad Azwan Syhmin Md Yusoff, 18, diseret kira-kira 30 meter oleh kereta api yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis ke Tumpat dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebelum kejadian mangsa bersama rakannya dipercayai tidur di atas jambatan landasan kereta api itu.

BACA JUGA : Sepi dari dunia hiburan, Wahid dedah kisah sebenar

“Sebaik melihat ada orang tidur di atas landasan, pemandu kereta api yang melalui laluan itu membunyikan hon, namun mangsa tidak sempat bangun.

“Bagaimanapun, rakannya tersedar dan lari menyelamatkan diri sebaik melihat kereta api hampir dekat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan polis mendapati separuh badan mangsa hancur kerana digilis kereta api itu.

BACA JUGA : Terbabas, tercampak, lelaki maut dihempap kereta sendiri

Katanya, jarak lokasi mangsa tidur dengan mayatnya dijumpai lebih kurang 30 meter.

“Susulan kejadian itu, pemandu kereta api terus melaporkan kejadian kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Beliau menasihatkan penduduk yang tinggal berhampiran landasan kereta api supaya berhati-hati memandangkan kawasan itu berisiko dan berbahaya.

“Kami juga mengingatkan penduduk supaya tidak menjadikan jambatan dan landasan kereta api sebagai tempat melepak atau tidur pada waktu malam.

“Pada masa yang sama, ibu bapa atau penjaga diharapkan sentiasa memantau pergerakan anak bagi menjamin keselamatan masing-masing,” katanya.